Malaysia Berita

Ini nasihat King Raja untuk ketua jurulatih baru Malaysia, Tan Cheng Hoe

“Cheng Hoe tidak perlu risau tentang perkara lain kerana dibelakangnya, tetap ada sokongan presiden. Begitu juga dengan penyokong… kita kena sabar dan jangan mahukan keputusan terlampau cepat.”

Itu nasihat yang diberikan oleh bekas ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal apabila ditanya mengenai keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melantik Tan Cheng Hoe sebagai pengganti Nelo Vingada.

Berita tersebut diumumkan oleh FAM semalam, sekitar 24 jam selepas Nelo Vingada mengumumkan keputusannya untuk meletak jawatan. Dan Rajagobal berpendapat bahawa Tan merupakan calon yang tepat untuk posisi tersebut dan berhak diberi tanggungjawab itu.

“Dia (Cheng Hoe) seorang jurulatih yang ikhlas dan berdisiplin. Saya tidak boleh nafikan perkara ini. Mungkin dia sudah cukup pengalaman bersama saya dan saya fikir dia memang berhak untuk dilantik sebagai ketua jurulatih. Namun jangan beri tekanan kepadanya,” kata Rajagobal kepada Arena Metro. 

“Saya yakin, kalau kita beri masa dan peluang yang cukup, dia akan buat sesuatu. Kritikan adalah perkara biasa. Namun biar dia fokus dengan tugas dia dan biarlah dia buat apa yang dia rasa bagus untuk pasukan,” tambah Rajagobal, yang berjaya membantu skuad Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki pada tahun 2010.

Selain Tan Cheng Hoe, Rajagobal turut diberi tanggungjawab baru untuk tahun 2018 selepas menerima tawaran untuk menjadi ketua jurulatih baru PKNS FC.

Ini bermakna Rajagobal akan kembali bekerjasama dengan Safee Sali, penyerang yang menjadi tonggak utama dalam skuad kebangsaan apabila mereka menjuarai Piala AFF Suzuki.