Malaysia Liga Super Malaysia

Morais teruja dapat bantu skuad Johor DT rangkul kejuaraan liga

Ketua jurulatih Johor DT Ulisses Morais telah meluahkan kegembiraannya selepas membantu skuad Johor DT merangkul kejuaraan Liga Super 2017.

Morais, yang dibawa masuk untuk menggantikan Benjamin Mora pada bulan Jun lepas, berjaya menguatkan taktikal pasukan JDT dalam masa yang singkat, sekaligus mengekalkan dominasi mereka di persada Liga Super.

“Sudah tentu saya gembira kerana melaksanakan tanggungjawab yang dipikul dan kerjasama pemain memainkan peranan bagi mengecapi kejayaan cukup bermakna untuk kelab ini,” ujar beliau kepada Arena Metro.

“Hari ini genap tiga bulan saya membimbing Johor DT dan ia tiga bulan yang cukup memberi kesan mendalam buat saya kerana berjaya membentuk skuad mantap. Tidak dilupakan barisan kejurulatihan yang turut memberi komitmen.

“Ketika saya memulakan tugasan pertama bersama Johor DT, saya sudah mengesan beberapa kelemahan yang harus diperbaiki dan dalam tempoh tiga bulan selain hasil kerja keras setiap pemain ternyata ia mampu diatasi,” tambahnya.

Morais dan skuad JDT dijangka akan mengubah fokus ke arah Piala Malaysia selepas ini. Mereka akan bertemu dengan Melaka United untuk saingan suku akhir kedua, hujung minggu ini.