Malaysia Asian Cup

Nelo mahu kemenangan pertama malam ini

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Nelo Vingada mahu menukar keputusan negatif kepada keputusan positif dengan melakar kemenangan pertama ke atas Hong Kong dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Malaysia memulakan kempen kelayakan Piala Asia dengan mencatat kekalahan pertama di halaman sendiri. Skuad Harimau Malaya tewas kepada Lebanon 1-2 di Stadium Larkin pada 13 jun ketika bulan ramadhan. Mereka juga tewas dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Syria dan Myanmar sebelum menentang Hong Kong malam ini.

“Perkara pertama yang bermain di fikiran kami ketika ini ialah kemenangan. Kami telah mengadakan kem latihan yang cukup lama dan pemain berada dalam tahap yang berbeza berbanding ketika menentang Lebanon,” katanya.

“Kami telah menonton perlawanan Hong Kong menentang Singapore, pasukan kami lebih baik daripada mereka tetapi kami mahu buktikannya. Keyakinan pasukan ketika ini cukup kuat dan saya harap penyokong akan turun beramai-ramai memberikan sokongan padu.

“Walaupun kalah dalam beberapa perlawanan persahabatan, pasukan kami telah menunjukkan peningkatan dan semakin hampir kepada keputusan yang positif,” jelasnya.

Wan Zack Haikal, Darren Lok dan Fahdli Shas adalah antara pemain baru yang dipanggil oleh Vingada berbanding ketika menentang Lebanon. Bekas jurulatih arab saudi itu turut memanggil pemain berdarah campuran dari Pahang, Kiko Insa dan peledak dari PKNS FC, Shahrel Fikri.

Sementara itu, Hong kong mencatat keputusan seri 1-1 ke atas Singapore ketika perlawanan persahabatan. Pasukan yang menduduki ranking 146 dunia ini turut diperkuatkan oleh 3 pemain naturalisasi iaitu Alexsandro Fereirra, Alex Akande dan Jaimes McKee.