Luar Negara

Lukaku akan menjadi lukamu jua..

Romelu Lukaku muncul sebagai wira malam ini dan membuktikan ketajaman penyudah apabila meledak dua gol ketika membantu Manchester United menewaskan West Ham United 4-0 pada aksi perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi.

The Red Devils itu terpaksa menunggu sehingga minit ke-33 sebelum membuka tirai jaringan sekalipun menguasai sebahagian besar permainan. Umpanan yang berpunca daripada gerakan menarik Marcus Rashford dimanfaat sepenuhnya Lukaku untuk menyumbat masuk gol pertama The Red Devils.

Tujuh minit selepas babak kedua bersambung, Lukaku sekali lagi membuktikan bisanya apabila meledak gol kedua tuan rumah menerusi tandukan hasil hantaran Henrik Mkhitaryan. Lima minit kemudian, gawang West Ham bocor lagi tetapi jaringan Mkhitaryan dibatalkan kerana ofsaid.

Selepas jaringan berkenaan, skuad bimbingan Jose Mourinho memperoleh beberapa peluang terbaik untuk menggegar gawang West Ham termasuk rembatan lencong Marcus Rashford namun ia dinafikan tiang pada minit ke-66.

Pada minit ke-80, tindakan Mourinho mengeluarkan Rashford dan digantikan dengan Anthony Martial membuahkan hasil apabila penyerang Perancis itu menjaringkan gol ketiga United tujuh minit selepas dimasukkan.

Dan perancang tengah Perancis yang dibeli dengan rekod dunia musim lalu, Paul Pogba turut membuktikan nilainya apabila melengkapkan kemenangan bergaya dengan menjaringkan gol keempat pada minit ke-90 yang berpunca daripada hantaran Martial. – AFP