Sukan SEA

Brunei mahu kalahkan Malaysia malam ini

Pasukan Brunei U22 tekad mahu melakar kejutan pada perlawanan pertama acara bola sepak sukan SEA malam ini. Mereka hadir dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bukan lagi sekadar penyertaan semata-mata.

Mereka sudah membuat persiapan rapi kali ini dan semua pemain mereka tidak sabar untuk memberikan tentangan sengit dalam aksi pembukaan menentang pasukan tuan rumah Malaysia di Stadium Shah Alam malam ini.

“Kami sudah membuat persiapan yang cukup baik dan kami tidak ada masalah di sini, cuaca juga lebih kurang sama. Pemain saya amat mahukan kemenangan jadi kami akan cuba memberikan aksi terbaik dalam saingan peringkat kumpulan,” katanya jurulatih Brunei U22, Kwon Oh-son dalam sidang media pra perlawanan semalam.

Menurut rekod, Brunei hanya sekali melepasi halangan peringkat kumpulan pada Sukan SEA Singapura pada 1983 namun mereka dibelasah oleh Malaysia 5-0. Malah mereka juga tewas 0-2 kepada skuad negara dua tahun lalu di Singapura dan menamatkan kempen Kumpulan B di tangga tercorot tanpa sebarang kemenangan selepas lima perlawanan.

Bagaimanapun, Oh-son mengakui anak buahnya sudah mendapat pendedahan termasuk pada aksi kelayakan Kejuaraan B-23 AFC di Myanmar bulan lalu di mana mereka berjaya memberi saingan ketika kalah 0-2 dengan Australia, Myanmar (0-3), Singapura (1-4).

“Saya dapat menilai kemampuan pemain ketika saingan kelayakan AFC sebelum ini. Kami juga sudah menguji kekuatan dengan Myanmar dan Singapura jadi ini adalah persiapan terbaik kami sebelum Sukan SEA,” katanya.

Untuk mencipta kejutan kali ini, Oh-son pasti mempertaruhkan sentuhan anak saudara Sultan Brunei, Faiq Jefri Bolqiah yang memiliki pengalaman bersama skuad remaja kelab Inggeris Leicester City dan turut tampil di Sukan SEA Singapura 2015.