Kekurangan 1 perlawanan nampaknya menjadi kekurangan buat pendatang baru Liga Super Malaysia 2017, Melaka United selepas dijadualkan bertemu Selangor yang kini dalam prestasi terbaik mereka setelah berjaya menewaskan Pulau inang dengan mudah, 2-0.
Persoalannya, mampukah Melaka United menewaskan Selangor dan menjadi salah satu pencabar kejuaraan musim ini? Artikel ini akan menggariskan beberapa isu menjelang perlawanan ini, hari ini! Tunggu apa lagi? Mari kita menjelajahi perlawanan ini !
P. MANIAM vs ERIC WILLIAMS : PENGALAMAN vs KEPAKARAN?
\
P. Maniam bukanlah nama baru buat dunia kejurulatihan Malaysia dan Liga Super 2017. Jurulatih yang banyak berjasa buat Selangor dengan menjadi penolong jurulatih Selangor selama 7 tahun (2009 – 2015), akhirnya menjadi pertaruhan terbaru FAS sebagai ketua jurulatih Selangor FA 2017.
Eric Williams pula merupakan muka baru di Liga Malaysia tetapi bukan di Asia Tenggara! Memenangi banyak piala di Australia, Indonesia dan yang terakhir di Myanmar (Yangon United), Eric Williams bukanlah seseorang yang boleh dipandang remeh pihak lawan.
Tak sabar penulis untuk melihat sendiri kehebatan dua orang jurulatih ini mencatur strategi demi memburu kejuaraan mala mini!
KEMENANGAN BERGAYA SEBAGAI MOTIVASI BUAT SELANGOR !
Selangor yang baru sahaja menewaskan Pulau Pinang, Sabtu lalu tampak bersedia untuk mencabar setiap pasukan yang bertandang menentang mereka. Dengan gandingan pemain muda dan berpengalaman, Selangor nampaknya bermula baik biarpun sedikit tergugat pada pra-musim.
Dengan Forkey Doe (32) di hadapan sambal dibantu Adam Nor Azlin dan S.Veenod, mereka membentuk satu unit serangan yang digelar VAD (Veenod-Adam-Doe). Menarik untuk saksikan apa yang bakal disajikan setelah P. Maniam menyajikan permainan yang lebih bertaktikal Sabtu lalu.
PENGALAMAN ATAU PRESTASI : MANA SATU YANG AKAN MELAKA UNITED PERTARUHKAN?
Dengan kemasukan nama-nama besar seperti Amri Yahyah, Fauzi Roslan, Isma Alif dan ramai lagi, pastinya ramai yang menganggap Melaka United akan menurunkan barisan terkemuka mereka. Namun sebagai jurulatih berpengalaman, Eric pastinya sedar bahawa prestasi lebih penting daripada pengalaman!
Tidak pasti corak permainan bagaimana Melaka United bakal pertaruhkan tetapi dengan gabungan beberapa pemain berpengalaman dan pemain sedia ada, saya pasti hasilnya lebih gempak! Mengapa?
Bayangkan sahaja R. Surendran dan Amri Yahyah bergandingan. Tepat dan pantas! Bahkan ianya cukup menarik untuk memikirkan tentang Spasojevic dan Aguero. Tak tahulah apa hasilnya di kemudian hari! Nantikan malam ini untuk lihat apa yang berlaku!
FORKEY DOE : ‘PREDATOR’ PALING BERBAHAYA DI LIGA SUPER !
Siapa yang tidak kenal dengan Forkey Doe? Dengan gaya rambutnya ala-ala watak dalam cerita ‘Alien vs Predator’ dan ketajamannya di depan gawang gol, pihak lawan pasti mengalami mimpi ngeri terburuk mereka apabila menentangnya!
Dengan 119 penampilan (5 pasukan, 2 kali bersama Selangor) dan 63 gol, dia telah meletakkan dirinya antara yang terbaik daripada semua penyerang asing yang pernah bermain di Malaysia.
Persoalannya, mampukah Melaka United menyekat Forkey Doe daripada menjaringkan gol malam ini? Sama-sama kita saksikan!
JEON WOO-YOUNG : ‘BUTANG PANIK’ MELAKA UNITED?
Dikhabarkan bahawa Jeon Woo-Young telah menerima ‘International Transfer Certificate’ (ITC) daripada kelab lamanya, Jeonnam Dragons petang semalam dan dibenarkan untuk bermain esok. Siapakah Jeon Woo-Young dan kenapa Melaka United ada 5 pemain asing?
Bagi mereka yang sedikit ‘terlambat’, Jeon Woo-Young adalah pemain terbaru Melaka United yang menggantikan pemain Filipina, Omid Nazari yang dikatakan ‘mengalami kejatuhan prestasi’ selepas mengalami kecederaan sewaktu pra-musim.
Jeon Woo-Young bermain di posisi pemain tengah bertahan dan ianya kali pertama dia keluar daripada Korea Selatan. Mampukah dia menggalas tugasnya sebaik mungkin?
PEMAIN TUMPUAN :
SELANGOR :
- Veenod – digelar ‘Pognod’ oleh peminat bola sepak tempatan, Veenod seorang pemain yang memiliki kelebihan stamina yang tinggi dan banyak berfungsi sebagai ‘box-to-box’ midfielder. Pada perlawanan Sabtu lalu, dia menjadi watak penting apabila kerap mengelirukan pertahanan dengan perubahan posisinya ketika permainan.
- Adam Nor Azlin – boleh bermain di pelbagai posisi, Adam nampaknya bakal digandingkan lagi bersama Forkey Doe pada perlawanan seterusnya selepas aksi cemerlangnya menjaringkan 1 gol menentang Pulau Pinang, Sabtu lalu.
- Ugo Ukah – Pertahanan asing ini memiliki gaya permainan yang sama seperti Thiago Junio (Perak). Selangor sangat mengharapkan beliau untuk memimpin barisan pertahanan agar tidak dibolosi malam ini!
MELAKA UNITED :
- Ilija Spasojevic – Memiliki status penjaring terbanyak Liga Perdana 2016, Spasojevic semestinya diletakkan harapan tinggi menjelang aksinya menentang Selangor malam ini.
- Sergio Aguero – Nama sudah iras-iras pemain terkemuka dunia, peminat Melaka United semestinya mahu permainannya seiring dengan kehebatan namanya. Mari kita lihat apa yang bakal disajikan beliau malam ini!
- Amri Yahyah – Usia sekadar nombor! Amri yang sudah mencecah usia 35 tahun nampaknya bakal menerusikan legasi hebatnya di Melaka United! Dengan memiliki pengalaman yang luas di peringkat domestik dan Asia Tenggara, Amri nampaknya akan diberikan harapan besar oleh peminat Melaka United malam ini!