Malaysia

Tiket Perlawanan Akhir Piala FA Dijual Mulai Khamis Jam 10 Pagi

Bahang perlawanan akhir Piala FA 2017 semakin memuncak menjelang hari perlawanan, Sabtu 20 Mei 2017.

Semalam, FMLLP melalui Ketua Pegawai Eksekutif, Kevin Ramalingam telah membuat satu sidang media untuk mengumumkan butiran mengenai tiket perlawanan akhir Piala FA 2017.

Secara keseluruhannya 72,000 tiket akan dibuka untuk jualan. 70,000 tiket adalah untuk kategori dewasa dan 2,000 tiket untuk kanak-kanak, masing-masing berharga RM50 dan RM5.

Dari segi pembahagian kepada pasukan yang beraksi dalam perlawanan akhir, Kevin memberitahu bahawa setiap pasukan akan diberikan jumlah tiket yang sama untuk jualan. Kedah dan Pahang akan menerima 32,000 keping tiket dewasa dan 750 keping tiket kanak-kanak setiap pasukan.

Penyokong-penyokong boleh mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala FA 2017 ini di Stadium Darul Makmur dan Stadium Darul Aman pada hari Khamis jam 10 pagi.

Bagi agihan untuk jualan secara online pula, FMLLP menetapkan hanya 6,000 keping tiket untuk dewasa dan 500 keping tiket untuk kanak-kanak. Jualan secara online boleh dibuat pada hari Rabu jam 12 tengahari.