Tiada alasan untuk tidak menang.
Malaysia wajib menang dalam perlawanan mereka menentang Mongolia esok di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Anak buah Tan Cheng Hoe perlu menunjukkan aksi hebat dan tiada alasan untuk tidak menentang skuad Mongolia yang terdiri daripada pemain-pemain semi-pro dan juga pelajar.
Ketua pasukan Mongolia, Turbat Daginaa dalam sidang media berkata: “Pasukan kami bukan terdiri daripada pemain-pemain profesional. Ada yang berkerja dan ada yang masih belajar dan sukar untuk kami berlatih ketika musim sejuk. Kami akan buat yang terbaik.”
Pemain-pemain Malaysia semuanya adalah pemain profesional dan bermain di liga yang lebih tinggi daripada pemain-pemain Mongolia. Namun, ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe tidak mahu terlampau yakin dan tetap berhati-hati dengan pasukan bimbingan Michael Weiß.
“Mongolia terkenal dengan sifat ‘pahlawan’ mereka seperti yang kita tahu dari sejarah dunia. Jadi saya harap pemain-pemain datang dengan pemikiran positif dan beri cabaran.
“Kalau kita bermain sebagai satu pasukan, saya pasti kita akan berikan persembahan terbaik.”
Bagi ketua pasukan negara, Safiq Rahim, dia berharap pemain-pemain bawah 23 tahun negara yang menunjukkan prestasi cemerlang di Piala AFC bawah 23 tahun Januari lalu akan meneruskan rentak cemerlang mereka bersama skuad senior negara.
“Pemain-pemain muda kami, perlu meneruskan semangat dan persembahan baik mereka semasa di Piala Asia. Saya harap gabungan ini dapat membentuk pasukan yang menarik.”
Harimau Malaya akan beraksi buat kali pertama di bawah kendalian Tan Cheng Hoe dan kembali ke Stadium Nasional Bukit Jalil sejak ia dibuka semula selepas proses baik pulih sempena Sukan SEA tahun lalu. Tiket untuk perlawanan ini berharga RM30 untuk tempat duduk biasa, RM5 untuk kanak-kanak dan RM50 untuk Grand Stand.