Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John mengesahkan pihaknya terbuka untuk mempertimbangkan sebarang rayuan mengenai proses pelesenan kelab.
Ini selepas Kedah memohon untuk melanjutkan tempoh untuk melengkapkan dokumentasi kewangan pasukan, dan FAM akan merujuk perkara itu kepada AFC terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
Namun, Windsor berkata rayuan mestilah mempunyai alasan yang munasabah.
“Kalau ada rayuan kita akan tengok,” katanya kepada Sinar Harian.
“Ini untuk panjangkan sedikit lagi tempoh penghantaran dokumentasi pelesenan berkenaan dan kita juga akan tengok rayuan dan juga apa-apa justifikasi yang munasabah.
“Apa pun kita masih belum terima apa-apa laporan daripada FAM berhubung masalah ini.”
Bagaimanapun, Windsor tetap menegaskan AFC tidak akan memberi kelonggaran lagi terhadap kelewatan melengkapkan proses pemisahan dari Persatuan Bola Sepak (FA) ke Kelab Bola Sepak (FC) selepas 30 September depan.
“Kita tidak akan berkompromi lagi dalam hal ini. Rasanya sudah banyak kali kita berikan kelonggaran, tetapi masih ada yang belum lengkapkan proses yang cukup penting ini.
“Sejak 2017, kita sudah berikan lanjutan tiga tahun kepada FAM untuk melengkapkan proses penswastaan ini, bagaimanapun masih ada pasukan atau kelab yang belum berbuat demikian.”