Malaysia Berita

Sathia: Beri peluang kepada orang tempatan jadi pengarah teknikal

Jurulatih Selangor, B Sathiananthan menganggap FAM perlu memberi peluang kepada khidmat tempatan untuk menggalas tugas pengarah teknikal.

Ini selepas FAM dilaporkan mahu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Peter De Roo dengan melantik Ong Kim Swee.

Sathia berkata, jurulatih asing lebih mendapat kelebihan apabila memegang jawatan tersebut.

“Yang untung dalam perkara ini adalah jurulatih luar,” katanya kepada Sinar Harian.

“Dia yang ikuti kursus, seminar, simposium dan sebagainya atas nama FAM.

“Mereka ini dapat pengalaman dan semua kepakaran hasil daripada menghadiri kesemua kursus berkenaan dan kemudian akan digunakan untuk mendapatkan kerja di tempat lain pula. Kita juga yang rugi.

“Kalaulah ada orang tempatan yang lebih berkaliber, ada sijil, ada tauliah dan kelayakan yang sama, takkan tak boleh beri peluang kepada orang kita?”

Walaubagaimanapun, Sathia berpendapat bahawa baik tempatan mahupun luar, FAM mestilah melantik pengarah teknikal yang mempunyai pengetahuan dalam bolasepak tempatan dan luar negara.

“Kerja sebagai pengarah teknikal ni hanya satu sahaja, iaitu kena faham bola sepak di negara kita dan juga negara luar.

“Jadi bagi saya kalau ada rakyat atau jurulatih tempatan yang ada kaliber, mereka boleh diberikan peluang menjawat jawatan berkenaan.”