Sangat jarang sebenarnya isu perkauman disentuh dalam bolasepak Malaysia, namun dalam perlawanan kedua Liga Super antara Selangor dan Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, jurulatih B. Sathiananthan merasakan beliau perlu meluahkannya juga kepada khalayak ramai.
Perkara itu tercetus apabila Sathia mendapat tahu kata-kata berbaur perkauman dihamburkan oleh peminat Selangor dalam media sosial malah ada yang meluahkannya ketika perlawanan, yang dipercayai ditujukan kepada pemain berbangsa India.
“Saya nak tanya, salahkah saya sebagai seorang jurulatih menurunkan seorang pemain ‘keling’ seperti saya,” katanya kepada Astro Arena.
“Macam langsung tak pergi sekolah. Kita sudah merdeka selama 62 tahun tapi masih ada yang memaki menggunakan perkataan ‘anjing dan keling’.
“Saya dilahirkan di sebuah kampung melayu tapi tidak pernah dengar benda macam ini. Tapi bila orang kutuk macam ini, gilalah.
“Pakai otak sikitlah. Selangor, masa zaman kegemilangan ada lima pemain India, tiga pemain Cina dan empat pemain Melayu yang bermain dalam satu pasukan.
“Bila saya letakkan seorang dua pemain India, dah jadi macam ini.
“Di Kelantan, saya letak dua pemain ‘keling’, mereka muncul juara. Padahal Kelantan yang patut turunkan orang Kelantan.
“Ini peminat Selangor tidak boleh terima. Budak itu nak turun pun takut.”