Liga Super Malaysia Berita

Nazmi Faiz tidak kisah main bahagian sayap JDT

Penjaring gol kemenangan Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika menewaskan UiTM FC 2-1 di laman sendiri, Nazmi Faiz Mansor tidak kisah beraksi di bahagian sayap, asalkan dapat meraih kemenangan untuk pasukannya.

Pemain berusia 25 tahun itu menunjukkan aksi memberangsangkan sejak kebelakangan ini, termasuk menggantikan tempat Safawi Rasid di sayap kanan sekaligus menjadi antara pemain terbaik JDT setakat ini.

“Tidak kisah posisi mana yang diarahkan oleh jurulatih, yang penting saya dalam skuad utama dan komited 100 peratus dalam perlawanan,” katanya kepada Arena Metro.

“Saya bersyukur kerana dapat membantu JDT meraih kemenangan namun saya tidak boleh cepat berpuas hati dan perlu memperbaiki kelemahan pada diri saya untuk aksi seterusnya.

Bagaimanapun, Nazmi menganggap JDT masih perlu memperbaiki kelemahan selepas dilihat bergelut dalam perlawanan tersebut.

“Di awal 15 minit babak pertama beraksi dengan baik.  Tapi selepas kita menjaringkan gol untuk mendahului UiTM FC 1-0, rentak permainan kami mula perlahan dan kerap hilang bola. Situasi itu menjejaskan rentak permainan sebenar JDT.

“Kita akan perbaiki lagi kelemahan sepanjang perlawanan itu biarpun meraih tiga mata namun kita tidak boleh cepat berpuas hati kerana banyak lagi harus diperbaiki untuk memantapkan corak permainan.”