Johor Darul Ta’zim (JDT) buat pertama kalinya akan menjalani sesi pra-musim di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai persiapan menghadapi musim baharu dan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata JDT perlu mendapatkan pendedahan terbaik dengan berhadapan kelab-kelab terkemuka dunia supaya dapat menghadapi cabaran yang lebih getir pada musim akan datang.
“Kebanyakan kelab-kelab di Eropah juga mengadakan pra musim mereka di sana seperti Spartak Moscow dan macam-macam kelab ada di sana. Malah kelab-kelab yang beraksi di ACL juga berada di Dubai termasuk kelab dari China.
“Saya mahu pemain mendapat pendedahan terbaik. Tidak kisah kena belasah ke ketika siri perlawanan persahabatan, sekurang-kurangnya pemain tahu kekuatan dan kelemahan mereka untuk persiapan menghadapi Liga Super dan ACL.”
Pasukan JDT akan bertolak pada 15 Januari dan akan berada di Dubai selama dua minggu.
Pada masa sama, TMJ menyasarkan JDT layak ke pusingan kedua ACL, selepas beraksi cemerlang pada penampilan pertama musim ini.
Musim 2019, JDT mengadakan pra-musim di Thailand manakala musim 2018 juga diadakan di Bangkok, Thailand.