Liga Super Malaysia Berita

Legenda Safee Sali masih belum mahu bersara

Walaupun usia Safee Sali sudahpun mencecah 35 tahun, namun legenda bolasepak Malaysia itu masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk bersara.

Malah, Safee mengesahkan beliau kekal dengan pasukannya PJ City dan tetap bersemangat untuk beraksi musim depan.

Ketika ini pula, terdapat spekulasi mengenai rombakan besar-besaran dalam pasukan itu.

Safee sendiri memberitahu akan ada muka-muka baharu pada musim depan.

“Siapa orangnya biarlah rahsia, tapi apa yang dapat saya katakan musim depan akan ada nama-nama besar arena bola sepak negara.

“Mereka akan membantu memantapkan lagi pasukan bagi menghadapi saingan pasukan-pasukan besar seperti Kedah, JDT dan Pahang,” katanya.

Dalam musim pertama di Liga Super tahun ini, PJ City menduduki tangga kelapan liga dengan mengumpul 26 mata.

PJ City juga merupakan kelab ke-10 disertai Safee sepanjang 18 tahun dalam kariernya.

Safee sudah memenangi pelbagai piala termasuklah Liga Super, Piala FA, Piala AFC, Piala AFF Suzuki serta dinobatkan penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki pada 2010.