Kolum Eropah

Klopp terbaik di dunia

Ketua Jurulatih Salzburg, Jesse Marsch menyifatkan pengendali utama Liverpool sebagai yang terbaik di dunia buat masa ini. Tegasnya lagi, perkara tersebut adalah berdasarkan prestasi yang dipamerkan Klopp dalam mengemudi Liverpool beberapa musim ini.

Liverpool kini mendahului Liga Perdana Inggeris dengan berkelebihan lapan mata selepas 15 perlawanan. The Reds juga mencatat rekod baru apabila masih belum tewas dalam 32 perlawanan berturut-turut dalam liga.

Salzburg akan menjadi tuan rumah kepada Liverpool pada Rabu depan bagi aksi terakhir kumpulan E. Tiga pasukan masih berpeluang untuk merebut dua slot untuk ke pusingan 16 pasukan terakhir. Selain Liverpool dan Salzburg, Napoli turut memiliki peluang yang sama. 

Sekiranya anak buah Jurgen Klopp tewas kepada Salzburg, maka mereka akan terkandas daripada layak ke pusingan seterusnya. Sementara itu, Salzburg juga selesa di Bundesliga Austria dengan mendahului liga.

‘Jurgen Klopp adalah jurulatih terbaik di dunia. Anda lihat kejayaan yang dikecapi bersama Liverpool dan juga ketika dia (Klopp) di Jerman’ katanya lagi.

Marsch berharap pasukannya mampu untuk menewaskan Liverpool walaupun secara realitinya ianya agak sukar. Walaupun Liverpool bakal turun beraksi tanpa tonggak tengah utama, Fabinho yang dijangka akan diketepikan sehingga 2020. Namun begitu, Liverpool masih memiliki pemain-pemain berbakat yang mampu untuk menggalas tugas yang ditinggalkan Fabinho.