Fantasy Premier League (FPL) merupakan aplikasi permainan interaktif rasmi untuk Liga Perdana Inggeris yang popular dikalangan pengikut dan peminat bola sepak. Secara ringkas, aplikasi permainan ini mula diwujudkan pada tahun 2002 dan kini sudah 17 tahun ia beroperasi. Semakin hari semakin bertambah pemain fantasi. Statistik menunjukkan terdapat lebih kurang lima juta pemain fantasi di seantero dunia bagi musim ini. Ianya seolah-olah menjadi satu trend kepada anak-anak muda.
Mengurus pasukan
FPL secara teknikalnya adalah satu permainan yang memberi peluang kepada pemain fantasi untuk mengurus pasukan yang terdiri daripada pemain daripada pelbagai pasukan yang bertanding di dalam liga. Dana yang disediakan bernilai 100 juta dan anda perlu membina pasukan yang mempunyai keseluruhan seramai 15 orang pemain. Antara pemain yang berpotensi untuk menyumbang mata buat pasukan anda ialah Mohamed Salah, Pierre Emerick Aubameyang, Teemu Pukki, Mason Mount, Lucas Digne, Daniel James, dan Trent Alexandre Arnold. Manakala skema pemarkahan boleh dirujuk di halaman rasmi FPL.
Stereotaip
Ramai yang menganggap permainan seperti ini tiada hala tuju dan membuang masa. Namun, stereotaip terhadap permainan ini sebenarnya sedikit pun tidak menggugat para pemain yang giat beraksi. Ini kerana permainan sedemikian sebenarnya memberi manfaat kepada pemain mengenai cara pengendalian pasukan bermula daripada pemilihan pemain sehingga kepada susunan taktikal. Di samping itu, laman sosial rasmi FPL seperti twitter dan facebook juga menunjukkan jumlah pengikut yang hampir mencecah satu juta dan ini bukti bahawa aplikasi permainan ini semakin diterima ramai.
Hadiah
Hakikatnya, hanya peminat bola sepak sebenar sahaja yang akan menghayati roh aplikasi permainan yang digilai bukan sahaja dikalangan golongan lelaki tetapi sudah mula menembusi tembok kaum hawa. Tambahan pula, hadiah yang ditawarkan cukup berbaloi dan mampu meragut nafsu para pemain fantasi. Sebagai contoh, juara keseluruhan yang akan diketahui di penghujung musim akan menikmati percutian seminggu di United Kingdom dan merasai pengalaman untuk dua perlawanan liga musim hadapan. Barangan lain yang akan diterima termasuklah jam tangan mewah TAG Heuer, konsol permainan video bersama salinan permainan video FIFA 20, Jaket pengurus Nike, dan barangan rasmi Fantasy Premier League.
Liga peribadi
Pengguna dan pemain fantasi juga berpeluang untuk mencipta liga peribadi untuk bermain bersama teman rapat. Ini sebenarnya mampu mewujudkan hubungan silaturahim diantara pemain. Selain itu, tiada yuran pendaftaran yang diperlukan dan sesiapa yang berminat hanya perlu mendaftar melalui halaman web atau aplikasi di telefon pintar. Dalam erti kata lain, ianya percuma untuk semua.
Pemenang terdahulu
Pada musim lepas, Adam Levy dari New Zealand berjaya menewaskan 6.3 juta pemain fantasi yang lain untuk bergelar juara keseluruhan dan membawa pulang hadiah lumayan. ‘They Are Us’ berjaya mengutip 2,659 markah keseluruhan.
Jadi, tidak hairanlah jika pemain-pemain fantasi begitu bersungguh-sungguh dalam mengecapi matlamat utama iaitu mengutip mata semaksimum mungkin seterusnya menjadi juara keseluruhan. Fantasi mampu mengubah realiti. Sudahkah anda membina skuad fantasi anda?