Berita

Pejabat baru FAM di Putrajaya

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang berpangkalan di Kelana Jaya bakal menerima ibu pejabat yang baru di Putrajaya. Wisma FAM yang terletak di Kelana Jaya itu telah beroperasi sejak lewat 1990.

Selaras dengan matlamat utama FAM untuk menyediakan kemudahan latihan bertaraf dunia bertepatan dengan tuntutan moden memberi suasana prestasi tinggi demi kegunaan pasukan elit tanpa mengetepikan komuniti Putrajaya.

Terdahulu, delegasi FAM yang diketuai Presidennya, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin bersama ahli jawatankuasa eksekutif FAM hadir membuat lawatan ke tapak pusat latihan kebangsaan dan ibu pejabat baharu yang terletak di Presint 5, Putrajaya.

Tapak seluas 13 ekar itu bakal dijadikan sebagai Pusat Latihan Kebangsaan FAM selepas diwartakan sebagai padang untuk bola sepak oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Perbadanan Putrajaya. 

Datuk Haji Hamidin menegaskan bahawa Presint 5 akan dijadikan sebagai pusat sukan menerusi kewujudan Bandar Bola Sepak yang menempatkan sebuah stadium bola sepak moden serta tiga ibu pejabat baharu yang terdiri daripada FAM, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), dan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).

Naib Presiden Perancangan Bandar Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud juga hadir bagi memberi taklimat terperinci mengenai pembangunan bandar bola sepak di Presint 5.

Turut hadir pada lawatan tersebut ialah kedua-dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi bersama Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan barisan Exco FAM.