Kongres luar biasa Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden 2 SAFA, Datuk Rahman Zakaria bersama-sama dengan 26 ahli gabungan sebulat suara melantik Datuk Peter Anthony sebagai pemangku presiden.
“Kesepakatan ini juga membolehkan pasukan Sabah terus beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan, pada awalnya memang ada sedikit rintangan, namun, saya memuji kesemua ahli gabungan kerana sanggup mengetepikan perbezaan pendapat demi menyelamatkan bola sepak negeri ini.
“Tujuan kongres luar biasa ini diadakan sebenarnya bukanlah untuk merombak keseluruhan pucuk pimpinan SAFA tetapi oleh kerana ada beberapa jawatan penting yang sudah ditinggalkan perlu diisi, maka ia perlu diadakan,” katanya Datuk Peter kepada Berita Harian.
Selain daripada itu, Jelius Ating kekal sebagai ketua jurulatih skuad Sabah bagi menghadapi Liga Malaysia pada musim hadapan manakala kontrak 16 pemain dilanjutkan dan selebihnya akan ditentukan oleh jurulatih dan pengurusan.
“Kita juga sudah membuat keputusan untuk melanjutkan kontrak 16 pemain sebagai permulaan dengan selebihnya akan ditentukan oleh barisan pengurusan serta kejurulatihan kemudian.
“Banyak yang kita perlu lakukan bagi memastikan kita terus beraksi dalam Liga Malaysia. Esok adalah tarikh akhir pendaftaran pertama pemain, banyak dokumen-dokumen yang perlu diselesaikan namun saya yakin kita akan mengatasinya,” katanya.
Terdahulu, 16 pemain yang dilanjutkan kontrak ialah Rawilson Batuil; Randy Baruh Samson; Jenius Karib; Dendy Lowa; Mohd Azzizan Nordin; Maxsius Musa; Ummareng Bachok; Justin Samaan; Ricco Nigel Milus; Sabri Sahar; Mohd Azwan Fattah; Rahman Shah Marajeh; Mazlan Yahya; Rozaimie Rohim; Rendy Robson Rining dan Mohd Sakri Masri.