Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : M Karathu Minta Letak Sumareh Sebagai Penyerang

Mohamadou Sumareh adalah pemain yang berani membawa bola dan mengelecek pemain lawan bagi memberi ruang kepada beliau dibahagian sayap untuk membuat hantaran ke dalam kotak penalti.

Walaupun tidak menjaringkan sebarang gol, beliau adalah antara watak penting yang menjadikan bahagian sayap Malaysia dilihat merbahaya dan mampu untuk menghasilkan gol.

Bagi bekas jurulatih Perak, Datuk M Karathu berpendapat menjelang perlawanan kedua di Hanoi nanti, Tan Cheng Hoe perlu berani meletakkan Sumareh di bahagian penyerang kerana kekuatan fizikal dan kemahiran yang beliau ada.

“Kalau kita lihat, Sumareh boleh menguasai bola dengan baik, menggelecek pemain lawan dengan kemahiran dan kepantasannya. Pada saya, lebih baik dia bermain di posisi Zaquan (Adha Abd Radzak) sebagai penyerang tengah dan bukannya di bahagian tepi.

“Jika dia di bahagian tengah akan memudahkannya membuat percubaan. Jika dia bermain di bahagian tepi, dia hanya boleh melakukan hantaran.

“Memang kita ada seorang lagi penyerang, Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) tapi saya lihat dia tidak mendapat sokongan rakan sepasukan di bahagian atas,” jelas Karathu ketika dihubungi hari ini.

Bagi ketua jurulatih belia Johor Darul Ta’zim, Wan Jamak Wan Hassan meminta agar kelemahan dibahagian pertahanan yang dilihat lemah dan mudah dipatahkan Vietnam segera di perbaiki menjelang aksi kedua bertemu skuad Golden Dragon di Hanoi nanti.

“Kita bermain baik dengan mengawal permainan tapi kita kurang bijak untuk masuk ke dalam kotak penalti Vietnam ketika menyerang. Bila kita ‘syok’ menyerang, kita terlupa Vietnam sangat bahaya ketika membuat serangan balas pantas.

“Kita banyak kali terperangkap dengan hantaran bola Vietnam ke belakang pertahanan kita. Hantaran pemain Vietnam cukup baik dan mereka memiliki penyerang yang pantas untuk memintas pemain pertahanan kita, jadi kita perlu lebih berhati-hati selepas ini.

“Peluang kita masih ada dan jika kita boleh menjaringkan gol awal, ia akan memberi tekanan kepada Vietnam nanti,” katanya kepada Berita Harian.