Arab Saudi mempunyai rekod yang baik sepanjang kempen Kejohanan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di mana mereka pernah menjuarai piala ini sebanyak dua kali dan pada dua tahun lalu mereka dinobatkan sebagai naib juara.
Bagi pemain pertahanan negara, Muhammad Al Imran Abdul Halim, mereka sudah bersedia untuk menghadapi Arab Saudi dan tidak gerun untuk berhadapan dengan lawan yang besar.
Tambah beliau lagi, Arab Saudi adalah ujian sebenar bagi skuad bawah 19 tahun negara dan beliau percaya dengan kemampuan skuad yang dibentuk oleh Bojan Hodak.
Memetik kata-kata beliau pada Berita Harian. “Memang kami akui Arab Saudi pasukan yang bagus tapi kami tak perlu takut, tak perlu terlalu menghormati mereka. Kami hanya perlu mengikut taktikal yang diarahkan oleh jurulatih, berdisiplin dalam permainan, insya-Allah kami boleh menang.
“Biasanya perlawanan pertama pasti sukar tapi kami akan cuba berikan yang terbaik kerana jika menang, peluang untuk ke peringkat seterusnya pasti cerah,” kata pemain dari Kedah itu.
Malaysia B-19 akan bertemu Arab Saudi pada Sabtu ini di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi, dan akan bertemu Tajikistan pada 23 Oktober ini di stadium yang sama. Manakala pada perlawanan ketiga skuad Bojan Hodak akan bertemu China pada 26 Oktober di Stadium Pakansari, Bogor.
Walaupun skuad Bojan Hodak menghadapi misi sukar untuk layak ke peringkat seterusnya kerana lawan mereka diperingkat kumpulan adalah pasukan-pasukan yang baik tetapi bagi kapten Muhd Syaiful Alias, beliau tetap percaya pada kemampuan skuad muda negara.
“Ia bukan mudah tapi tak mustahil untuk kami buat kejutan ke atas Arab Saudi, tengok sajalah kejayaan skuad B-23 sebelum ini jadi itu boleh dijadikan motivasi buat pemain,” katanya kepada Berita Harian.