Malaysia Berita

Serbegeth Singh Percaya, Nor Azam Mampu Kawal Jentera Tengah Negara

Tonggak utama skuad bawah 23 tahun negara, Nor Azam Azih sepatutnya tidak disisihkan oleh Tan Cheng Hoe bagi kempen Piala AFF yang akan bermula awal bulan hadapan.

Perkara itu dinyatakan oleh bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh, Walaupun Nor Azam tidak mempunyai pengalaman beraksi bersama skuad senior, tetapi kemampuan beliau untuk mengawal jentera tengah kita ditagih kerana beliau memiliki ketenangan yang tiada pada pemain lain.

Tambah beliau lagi, kehadiran Nor Azam dapat memberi kesan yang baik pada bahagian serangan kerana beliau boleh melakukan hantaran dengan baik dan dapat mengucar kacirkan bahagian tengah lawan.

“Pada saya Nor Azam kena ada dalam pasukan kebangsaan ke Piala AFF. Dia pemain tengah terbaik yang kita ada sekarang. Selepas saya menyaksikan perlawanan pasukan kebangsaan menentang Kyrgyzstan tempoh hari, kita tak menguasai bola di bahagian tengah dengan baik.

“Saya percaya kemahiran yang ada pada Nor Azam, dia boleh melakukan hantaran dengan baik dan menjadi penghubung antara tengah dan serangan jadi Tan Cheng Hoe perlu memanggilnya,” kata Serbegeth atau turut dikenali sebagai Shebby.

Sebelum ini, Nor Azam pernah dipanggil sekali oleh Tan Cheng Hoe terpaksa pulang awal disebabkan kecederaan lutut yang dialami oleh beliau.

Dalam masa yang sama, Serbegeth Singht memuji barisan pertahan negara yang semakin serasi bersama. Namun apa yang menjadi kebimbangan beliau ialah barisan penyerang Malaysia yang kelihatan tidak tenang dan tergopoh-gopoh.

Tetapi perkara itu boleh diatasi apabila kesemua pemain utama skuad negara dipanggil nanti. Pada perlawanan bertemu Kyrgyzstan yang lalu, Safawi Rasid dan Shahrel Fikri tidak dipanggil oleh jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

“Berdasarkan persembahan ketika tewas 0-1 kepada Kyrgyzstan, saya lihat bahagian pertahanan kita bertambah baik, berdisiplin dan tidak mudah hilang tumpuan namun penyerang perlu lebih tenang dan tidak boleh tergopoh-gapah dalam kotak penalti.

“Tapi penyerang seperti Safawi Rasid dan Shahrel Fikri (Md Fauzi) tidak beraksi dalam perlawanan itu dan saya percaya pemain ini boleh memainkan watak penting di bahagian serangan selepas ini. Untuk mara ke separuh akhir sudah menjadi satu pencapaian baik buat skuad kebangsaan tapi menuju ke final sebenarnya bukan mustahil,” katanya kepada Berita Harian.