Malaysia Piala Malaysia

Sabah Terjejas, 3 Tonggak Utama Cedera

Sabah terpaksa melupakan tiga tonggak utama mereka selepas dikhabarkan mengalami kecederaan.

Perkara itu disahkan oleh ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating. Pemain-pemain  tersebut ialah ketua pasukan, Rawilson Batuil, Azzizan Nordin dan penyerang import dari Puerto Rico, Hector Ramos.

“Rawilson sebelum ini membatalkan hasrat menyertai skuad kebangsaan kerana cedera manakala Azzizan yang menyertai kem latihan pasukan negara juga terpaksa digugurkan kerana mengalami nasib sama.

“Begitu juga dengan Ramos, dia kembali ke negara asalnya untuk menyertai pasukan kebangsaan Puerto Rico namun kembali ke sini dengan kecederaan,” katanya kepada Berita Harian.

Jelius berkata, kecederaan pemain utama sedikit sebanyak menjejaskan misi mereka bagi menghadapi lawan pada separuh akhir kedua Piala Malaysia. Tetapi beliau percaya pemain lain bersedia untuk menggalas tugas yang ditinggalkan oleh pemain yang cedera.

“Memang persiapan kami agak terjejas dengan masalah kecederaan ini, namun kami juga perlu percaya dengan semua pemain yang ada,” katanya.

“Ketika saya bermain dulu, kami pernah menang dengan jumlah gol yang banyak di Likas seperti membelasah Terengganu 8-2 dan Selangor 5-1, oleh itu misi ini (mengatasi Perak) bukan mustahil walaupun kami sedar ia sukar,” katanya.

Sabah kecundang 0-5 pada separuh akhir pertama di Ipoh, dua minggu lalu.