Liga Super Malaysia

Zuber Ingatkan Pemain Untuk Terus Fokus Dan Percaya Diri

Terengganu FC (TFC) akan berkunjung ke Larkin, Sabtu ini bagi menghadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia.

Bagi bekas pemain bolasepak Terengganu, Zuber Ibrahim, beliau mengingatkan kepada skuad kendalian Irfan Bakti agar tidak leka kerana perlawanan masih berbaki 90 minit.

Beliau yang pernah menyarung jersi Terengganu dan pernah membawa Terengganu ke pentas akhir sebanyak tujuh kali mengingatkan kepada pemain supaya sentiasa berdisiplin dalam bertahan mahupun menyerang dan beliau mengingatkan kepada para pemain agar memberi fokus 100% pada perlawanan nanti

“Sebagai pemain yang pernah merasai suasana final sebanyak tujuh kali, saya nasihatkan anak buah Irfan Bakti Abu Salim supaya lebih berdisiplin ketika bertahan, menyerang dan mengatur gerakan.

“Selain itu pemain harus buang perasaan takut dan gerun dengan reputasi lawan, sebaliknya perlu fokus 100 peratus di tengah padang serta tenang biarpun diasak pemain lawan.

“Pemain juga harus mempunyai mentaliti dan semangat yang kuat untuk melawan serta perlu ada sikap mahu bangkit dan tidak putus asa hingga minit akhir sekiranya ketinggalan,” kata Zuber kepada Berita Harian.