Malaysia Berita

Menteri sukan Indonesia mohon maaf kepada Malaysia

Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi memohon maaf kepada Malaysia selepas insiden keganasan penyokong Indonesia terhadap pasukan Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) dalam aksi separuh akhir Kejohanan AFF B-19 baru-baru ini.

Beliau membuat permohonan maaf tersebut menerusi status yang dimuatnaik di akaun Instagram miliknya beserta gambar pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Banyak hal yang dibicarakan, soal persiapan Sukan Asia 2018, harmoni Indonesia-Malaysia, juga soal tekwan dan pempek (masakan khas) Palembang yang pedas, soal kawasan Sport City Jakabaring, sampai soal keluarga dan karier.

“Soal perlakuan supporter kepada timnas Sepakbola u/19 Malaysia di Piala AFF di Sidoarjo, saya harus mohon maaf atas peristiwa tidak nyaman itu kepada beliau dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Pada aksi separuh akhir itu, penyokong Indonesia mula menimbulkan kekecohan di stadium apabila pasukan kesayangan mereka tumpas kepada Malaysia menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas keputusan terikat 1-1 dalam 90 minit perlawanan.

Malah, sebaik sahaja tamat perlawanan, penyokong Indonesia yang tidak berpuas hati dengan kekalahan tersebut dilihat melemparkan objek keras seperti botol dan batu ke arah para pemain dan barisan kejurulatihan serta pegawai pasukan yang berada dalam keadaan ketakutan dan berusaha untuk menyelamatkan diri masing-masing.

Penyokong Malaysia terutamanya mendesak pihak FAM, AFF dan AFC bertindak segera terhadap Indonesia bagi mengelakkan insiden yang sama berulang pada masa akan datang.