Liga Super Malaysia Berita

Kes Faisal Halim tiada tindakan lanjut

Kes serangan simbahan asid Faisal Halim yang berlaku setahun lalu kini berstatus sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Perkara ini disahkan oleh pihak Tetuan Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co. yang mewakili pemain Selangor itu.

“Kami telah menerima satu surat dari Jabatan Peguam Negara, dimana pihak kami dimaklumkan bahawa kes ini sudah diklasifikasikan sebagai “Tiada Tindakan Lanjut” ataupun “No Further Action (NFA)”.

“Surat tersebut juga menyatakan bahawa pihak PDRM tidak dapat mengesan sebarang petunjuk yang dapat mengaitkan kes ini dengan mana-mana individu sebagai suspek, dan segala usaha yang telah dijalankan bagi tujuan tersebut tidak membuahkan hasil.

“Ternyata bahawa anak guam kami berasa kecewa dengan hasil siasatan tersebut. Kami akan teruskan perbincangan dengan anak guam kami untuk menentukan langkah-langkah yang seterusnya.”

Faisal telah mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan kes ini diberikan perhatian yang sewajarnya.

Ini termasuklah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat PDRM untuk membantu mereka membuat siasatan menyeluruh berkenaan dengan kes ini.

Faisal juga menghantar beberapa surat kepada pihak berkuasa, antaranya surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang di-Pertua Dewan Negara, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara untuk menggesa agar siasatan kes ini dipantau dan diberi kepentingan yang sewajarnya.