Malaysia meraih kemenangan pertama dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F bagi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 apabila menewaskan Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim.
Ini merupakan kemenangan pertama buat Peter Cklamovski sejak dilantik sebagai jurulatih negara awal tahun ini.
Malaysia yang menguasai permainan sejak awal perlawanan mendahului pada minit ke-29 menerusi jaringan Hector Hevel, pemain warisan yang pertama kali mewakili negara.
Walaupun mempunyai banyak peluang, kedudukan 1-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Separuh masa kedua menyaksikan Malaysia menggandakan kedudukan apabila pemain pertahanan Corbin Ong menjaringkan gol pada minit ke-70.
Jaringan itu menjadi pelengkap kemenangan negara apabila kedudukan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan.
Malaysia akan kembali beraksi dalam perlawanan seterusnya menentang Vietnam pada 10 Jun ini.
Vietnam yang menduduki ranking FIFA ke-114 dunia menjadi pendahulu kumpulan F selepas menewaskan Laos 5-0.