Liga Super Malaysia Berita

JDT dihukum RM30,000 ekoran insiden futsal, final Piala FA 2023

JDT berdepan hukuman RM30,000 meliputi insiden perlawanan futsal dan Final Piala FA 2023.

Ia diputuskan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat kali ke-14 bagi penggal 2021-2025 yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.

Kesalahan pertama JDT adalah melanggar Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM.

“Akibat daripada kegagalan untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan penyokong Johor Darul Ta’zim mengejek, melakukan provokasi terhadap penyokong pihak lawan dan kemudiannya telah mengerumuni, mengejar dan menyerang penyokong pihak lawan sebelum sempat mereka menaiki bas semasa perlawanan Liga Futsal, Johor Darul Ta’zim lawan Selangor MAC di Stadium Bandaraya Pasir Gudang pada 27 Mei 2023.

“Hukumannya Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim didenda RM15,000 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu.”

Bagi kesalahan kedua, JDT melanggar Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM.

“Akibat daripada kegagalan untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga menyebabkan seorang penyokong pasukan Kuala Lumpur City telah dipukul oleh individu yang tidak dikenal pasti sehingga menyebabkan kecederaan yang serius semasa Final Piala FA 2023, Johor Darul Ta’zim lawan Kuala Lumpur City di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 22 Julai 2023.

“Hukumannya Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim didenda RM15,000 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu.”