Piala FA Malaysia Berita

JDT julang Piala FA 2023

JDT menjulang Piala FA 2023 apabila menewaskan KL City 2-0 dalam perlawanan akhir.

Harimau Selatan menjadi pasukan ke-4 selepas KL, Kedah dan Kelantan yang mempertahankan kejuaraan piala selepas memenanginya tahun lalu.

Ini juga merupakan trofi ketiga Piala FA dimenangi JDT, selepas memenanginya pada 2016 dan 2022.

Bermain di gelanggang sendiri, JDT menggunakan kelebihan itu untuk mendominasi permainan namun bergelut untuk menjaringkan gol di separuh masa pertama.

KL sebaliknya berjaya mencipta dua peluang terbuka namun kedua-keduanya gagal disudahkan dengan baik.

JDT akhirnya memecah kebuntuan apabila sepakan Hong Wan dari luar kotak penalti menerjah masuk melepasi Kevin Ray Mendoza pada minit ke-66.

Leandro Velazquez melengkapkan kemenangan apabila sepakannya berjaya menembusi dua pemain pertahanan KL sebelum menewaskan Mendoza sekali lagi pada minit ke-74.

KL tidak nampak cuba mencari sebarang gol dalam tempoh 15 minit terakhir, sebaliknya keputusan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Esteban Solari menjulang trofi kedua bersama JDT selepas memenangi Piala Sumbangsih awal musim ini.