
Malaysia mencipta kejutan apabila menewaskan negara ranking 97 dunia, Kyrgyzstan 4-3 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan penuh dramatik di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kemenangan itu dicapai hasil jaringan Faisal Halim minit-minit akhir perlawanan selepas bangkit dari ketinggalan di separuh masa pertama.
Malaysia mendahului seawal minit ke-7 menerusi Dion Cools namun bolos 2 gol di hujung separuh masa pertama.
Kyrgyzstan menjarakkan lagi kedudukan apabila menambah gol ketiga pada minit ke-57 menjadikan kedudukan 3-1.
Ketika perlawanan berbaki 20 minit sahaja lagi, Malaysia berjaya merapatkan jurang menerusi serangan Arif Aiman yang memaksa pertahanan pihak lawan tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-72.
Malaysia akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Cools pada minit ke-77 sekali lagi hasil hantaran Arif.
Dengan perlawanan baru memasuki masa tambahan, hantaran pendek yang dilakukan Arif berjaya disambut oleh Faisal yang terus merembat bola menewaskan penjaga gol Kyrgyzstan pada minit ke-91.
Kedudukan 4-3 kekal sehingga tamat minit ke-97 perlawanan.