MFL memberi ruang dan peluang kepada Kedah untuk menangani masalah kewangan dan isu tunggakan gaji dihadapi pasukan itu.
Ini susulan tindakan pemilik Kedah,Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yang berani tampil menjelaskan mengenai masalah kewangan dihadapi pasukan sehingga menyebabkan bayaran gaji pemain dan pegawai tertunggak sejak Ogos lalu.
“Saya sudah mengadakan pertemuan dengan CEO Kedah, Khamal Idris Ali baru-baru ini bagi berbincang dan membantu mereka,” kata CEO MFL, Stuart Ramalingam.
“Kedah bukan ‘repeat offender’ (pesalah berulang), kita bagi ruang kepada pasukan untuk selesaikan masalah ini secara dalaman.”
Namun, beliau mengakui isu masalah kewangan berpotensi menggugat MFL untuk mengekalkan jumlah pasukan bertanding dalam saingan Liga Super musim depan.
Katanya, struktur Liga Super dengan penyertaan 14 pasukan ketika ini adalah struktur terbaik pernah dilaksanakan, namun melihat ia bukan satu kemestian.
Mengambil kira isu masalah kewangan dihadapi pasukan yang kembali hangat diperkatakan, Stuart berkata MFL akan melakukan apa sahaja termasuk jika terpaksa mengurangkan jumlah pasukan bertanding demi menjaga imej liga.
“Saingan liga musim ini sepatutnya mempunyai 16 pasukan, penyingkiran Melaka United dan Sarawak United adalah disebabkan masalah dalaman mereka.
“Jadi jika timbul isu, kami (MFL perlu mengurangkan kepada 13 pasukan (musim depan), jika ia harus berlaku, maka ia harus berlaku namun saya berharap sebanyak 14 pasukan kekal dalam saingan musim depan.”