Liga Super Malaysia Berita

JDT menang tipis, penjaga gol PDRM jadi sebutan

Johor Darul Ta’zim mencatatkan kemenangan kali ke-9 berturut-turut dalam Liga Super musim ini apabila menewaskan PDRM 1-0 di Stadium Kelana Jaya.

Ia bagaimanapun dilihat sebagai kemenangan tipis buat JDT, ekoran prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh penjaga gol PDRM, Nor Hakeem Hamidun.

Sepanjang tempoh separuh masa pertama, JDT tidak berdepan masalah untuk menguasai permainan dan mencipta peluang, namun gagal menemui penyudah.

Namun, pengadil mengundang kontroversi apabila menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT pada minit ke-43 apabila menganggap Bergson ditolak Azmi Muslim dalam kotak penalti.

Bergson bagaimanapun gagal menyempurnakan penalti apabila sepakannya berjaya diselamatkan Hakeem Hamidun.

Jurulatih JDT, Esteban Solari membuat keputusan drastik apabila mengeluarkan Bergson di separuh masa kedua dengan memasukkan Diogo bagi mengubah corak serangan.

JDT akhirnya memecah kebuntuan apabila Fernando Forestieri menjaringkan gol pada minit ke-61, gol ke-8 dalam Liga Super musim ini.

Nasib PDRM terus malang apabila terpaksa bermain 10 pemain apabila importnya, Kyaw Min Oo dilayangkan kad kuning kedua kerana bola terkena tangannya.

JDT bagaimanapun gagal mengambil kesempatan di atas kelebihan bilangan pemain, apabila setiap serangannya berjaya dipatahkan oleh Hakeem Hamidun serta rakannya di bahagian pertahanan.

Keputusan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan, dengan JDT meraih 27 mata.

PDRM pula di tangga ke-10 dengan mengumpul 10 mata dalam 9 perlawanan.