Liga Super Malaysia Berita

Kedah naik tangga kedua Liga Super

Kedah naik ke tangga ke-2 Liga Super meskipun diikat seri 1-1 dengan Pahang di Kuantan semalam.

Ini menyaksikan Kedah meraih 13 mata, berkongsi mata dengan Sabah dan Selangor namun mempunyai kelebihan jaringan.

Pasukan dari utara itu bagaimanapun hampir tewas apabila Pahang mendahului menerusi sepakan penalti Stefano Brundo pada minit ke-62.

Namun, penyerang Kedah, Jonathan Balotelli berjaya menyamakan kedudukan di saat-saat akhir perlawanan, memastikan sekurang-kurangnya satu mata dapat dibawa pulang dari tempat lawan.

Pahang pula berada di tangga ke-5 dengan 10 mata selepas 6 perlawanan.

Di Paroi, Negeri Sembilan unggul menewaskan Kelantan 4-2 di laman sendiri.

Tuan rumah menjaringkan gol pendahuluan menerusi Mahali Jasuli pada minit ke-16, namun Kelantan menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Ismahil Akinade pada minit ke-36.

Hanya 2 minit kemudian, Negeri Sembilan kembali di depan menerusi jaringan Herold Goulon, dengan keputusan 2-1 di separuh masa pertama.

Namun, tidak sampai 10 minit di separuh masa kedua, Kelantan sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan menerusi Akinade yang turut menjaringkan gol keduanya.

Ia bagaimanapun tidak bertahan lama apabila dalam 15 minit terakhir perlawanan, Negeri Sembilan berjaya menjaringkan 2 gol.

Gol ketiga disumbangkan oleh Shahrel Fikri pada minit ke-76 sebelum Casagrande melengkapkan kemenangan Negeri Sembilan seminit sebelum perlawanan berakhir.

Negeri Sembilan kini di tangga ke-7 dengan 8 mata manakala Kelantan di tangga ke-11 dengan 4 mata.

Di Sarawak, Kuching City mencatatkan kekalahan kelima berturut-turut apabila tewas kepada PDRM 1-0 di Kuching.

Bruno Suzuki menjaringkan satu-satunya gol buat PDRM yang kini menduduki ke-6 dengan 10 mata, manakala Kuching kekal di tangga kedua tercorot liga dengan 3 mata.