Luar Negara Berita

Piala FA Emirates dipamerkan di Malaysia buat pertama kali dalam sejarah

Trofi kejohanan bola sepak tertua di dunia, The Emirates FA Cup atau Piala FA Emirates dipamerkan buat julung kali di Malaysia.

Dipamerkan di Central i-City Shah Alam hari ini, kehadiran trofi berusia 152 tahun itu diraikan oleh pengamal media, pempengaruh serta para peminat bola sepak tempatan.

Pameran itu diadakan anjuran Persatuan Bolasepak England (The FA) dengan kerjasama Astro selaku penyiar rasmi kejohanan tersebut bagi menjayakan Jelajah Trofi Piala FA Asia Pasifik.

“Ini trofi yang bersejarah dan amat istimewa kepada peminat bola sepak dan pastinya peminat Malaysia teruja apabila dapat melihat piala ini di depan mata,” kata Pengurus Jenama FA, Ryan Armstrong ketika ditemui media.

Malaysia merupakan destinasi kedua Jelajah Trofi Piala FA Asia Pasifik selepas Sydney, Australia pada 23 Januari, dengan trofi ini akan dipamerkan di Singapura pada 26 Januari dan akan menamatkan jelajah di Seoul, Korea Selatan pada hujung minggu yang sama dengan Pusingan Keempat Piala FA Emirates pada 28-29 Januari.

Pusingan Keempat Piala FA diadakan pada 28-29 Januari dan akan mencapai kemuncak dalam perlawanan akhir di Stadium Wembley, London yang disiarkan secara langsung eksklusif di Malaysia oleh Astro pada pagi Ahad, 4 Jun.”

Liverpool merupakan juara bertahan Piala FA pada 2022 dan Arsenal muncul pasukan paling banyak menjulang Piala FA apabila dinobatkan juara 14 kali.

Malaysia memang sudah lama ada kaitan dengan Piala FA Emirates, termasuk penglibatan beberapa pemain yang telah memainkan peranan penting dalam Piala FA antaranya Tony Cottee yang merupakan naib juara Piala FA England bersama Everton dan juara Piala FA Malaysia bersama Selangor.

Seorang lagi pemain, David Rocastle turut muncul pemain yang pernah menang Piala FA England bersama Arsenal dan merupakan naib juara Piala FA Malaysia bersama Sabah.

Pada Pusingan Keempat Piala FA, satu perlawanan hebat antara dua pasukan Liga Perdana Inggeris bakal disaksikan apabila Manchester City selaku tuan rumah menyambut ketibaan Arsenal.

Sementara itu, Manchester United akan bersaing dengan pasukan Liga Championship, Reading, manakala Preston North End akan mengalu-alukan ketibaan Tottenham Hotspur.

Dalam pada itu, Brighton & Hove Albion akan menentang Liverpool dan akhir sekali Wrexham, yang dimiliki pelakon terkenal Ryan Reynolds, ingin mengulangi kemenangan mengejut pada Pusingan Ketiga ke atas Coventry City apabila bermain di tempat sendiri menentang pasukan Sheffield United yang sedang cemerlang di Liga Championship.

Jadual Perlawanan Penuh Pusingan Ke-4 Piala FA

Preston North End lwn Tottenham Hotspur
Southampton lwn Blackpool
Wrexham lwn Sheffield United
Ipswich Town lwn Burnley
Manchester United lwn Reading
Luton Town lwn Grimsby Town
Derby County lwn West Ham United
Stoke City lwn Stevenage Borough
Blackburn Rovers lwn Birmingham City
Walsall lwn Leicester City
Sheffield Wednesday lwn Fleetwood Town
Manchester City lwn Arsenal
Bristol City lwn West Bromwich Albion
Brighton & Hove Albion lwn Liverpool
Fulham lwn Sunderland
Accrington Stanley lwn Leeds United

Anda boleh menyaksikan perlawanan bola sepak termasuk Piala FA Emirates, di Astro. Untuk maklumat lanjut tentang Pek Sukan, sila layari https://www.astro.com.my/.

Jadual Penuh Acara Jelajah:
Isnin 23 Januari – Sydney, Australia
Rabu 25 Januari – Kuala Lumpur, Malaysia
Khamis 26 Januari – Singapura
Sabtu 28 Januari – Seoul, Korea Selatan