Faisal Halim menjadi pemain terbaru yang menyertai Selangor bagi menghadapi Liga Malaysia musim 2023.
Ini selepas Selangor mengumumkan penyertaan Khuzaimi Piee dan V Ruventhiran.
Pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi perpindahan ke Kedah selepas Nafuzi Zain dilantik sebagai jurulatih baharu pasukan itu.
Pengumuman itu juga dibuat sehari selepas pemain negara itu menjaringkan gol tunggal yang membawa kemenangan 1-0 ke atas Myanmar di Yangon semalam.
“Selangor adalah satu pasukan yang besar, semua orang mengenali dan ingin bermain untuk kelab ini,” kata Faisal ketika bercakap Media Selangor FC.
“Alhamdulillah, saya dah sampai ke laman Gergasi Merah kerana ini yang ditunggu-tunggukan.
“Saya yakin mampu mempamerkan persembahan yang baik dan memberikan kelainan untuk Selangor.
“Sasaran saya sekurang-kurangnya ingin menjadikan Merah Kuning sebagai pasukan yang digeruni dan saya berjanji akan berikan sehabis baik untuk melaksanakannya.”
Faisal akan kembali berada di bawah kendalian Tan Cheng Hoe, jurulatih yang memberi peluang kepada Faisal untuk mewakili negara.
Sepanjang dua musim di Terengganu, Faisal menjaringkan 27 gol dan mencipta 42 assist dalam 101 perlawanan untuk semua pertandingan.
Beliau juga menjaringkan 10 gol dan mencipta 4 assist dalam 79 perlawanan untuk semua pertandingan ketika mewakili Pahang.
Faisal juga sudah mewakili negara sebanyak 14 kali dan menjaringkan 6 gol setakat ini.