Malaysia Berita

Khuzaimi Piee sertai Selangor

Pemain pertahanan negara, Khuzaimi Piee diumumkan sebagai pemain baharu Selangor bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2023.

Pemain berusia 29 tahun yang berasal dari Krubong, Melaka itu menjadi antara pemain kebangsaan yang meninggalkan Negeri Sembilan termasuk Ahmad Syihan Hazmi.

Beliau juga menjadi pemain baharu kedua yang menyertai Red Giants selepas V Ruventhiran yang berhijrah dari PJ City.

“Semua orang tahu Selangor adalah pasukan yang besar,” kata Khuzaimi kepada Media Selangor FC ketika pertama kali diperkenalkan sebagai pemain Selangor.

“Saya menganggap ini sebagai cabaran yang saya terima untuk mengembangkan diri dan kerjaya saya.

“Saya seorang yang sentiasa meletakkan matlamat yang tinggi untuk diri sendiri. Jadi, secara peribadi saya berhasrat untuk membawa Selangor ke tahap yang saya impikan iaitu ke Piala Asia.”

Dengan kemasukan Khuzaimi dan Ruventhiran, Selangor menjadi pasukan paling banyak menghantar pemain bagi mewakili negara dalam Piala AFF 2022.

Jurulatih negara, Kim Pan-gon sebelum ini memanggil 7 pemain Selangor iaitu Brendan Gan, Mukhairi Ajmal, Sharul Nazeem Zulpakar, Quentin Cheng, Fazly Mazlan, Aliff Haiqal dan Nor Hakim Hassan.