Liga Super Malaysia Berita

JDT buru tiga mata penuh, Kedah mahu teruskan rentak kemenangan

Harimau Selatan bakal turun menentang Helang Merah pada Ahad ini di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, esok malam.

Buat Johor Darul Ta’zim, meneruskan rentak kemenangan adalah misi utama mereka apabila berjaya menundukkan Pahang minggu lalu sebelum beraksi di dalam kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Gyeongnam FC baru-baru ini.

Jadual yang padat dihadapi mereka sudah pastinya membuatkan beberapa pemain berada pada tahap yang meragukan, tetapi JDT mempunyai beberapa pemain di bangku simpanan yang mampu mengalas tugas pemain yang tidak dapat diturunkan.

Bagi pasukan Kedah pula, kemenangan ke atas Melaka United minggu lalu jelas memberi suntikan semangat buat mereka setelah tewas mengejut ke atas Selangor di Shah Alam pada minggu sebelumnya.

Bertandang ke Larkin bukanlah tugas mudah buat Kedah kerana ini adalah kubu kuat JDT tetapi mereka pernah menewaskan JDT musim-musim sebelum ini di Larkin dan sudah semestinya motivasi yang sama diperlukan oleh pemain Kedah.

Pada perlawanan pertama JDT bertemu Kedah, ianya berakhir seri di Stadium Darul Aman dan kedua-dua pasukan dilihat bakal turun dengan misi memburu kemenangan.