Selepas mengharungi perlawanan peringkat kumpulan, kita semakin menghampiri ke kemuncak Piala Dunia 2018. Seperti biasa, pasukan dari Eropah dan Amerika Selatan terus mendominasi kejohanan ini. Tiada langsung pasukan Afrika yang layak dan kita mempunyai satu wakil dari Asia.
Selepas Arab Saudi dibelasah 5-0 oleh Russia dalam perlawanan pembukaan, ramai memandang rendah keupayaan pasukan Asia di Piala Dunia. Pasukan Asia dikatakan lubuk mata dan tidak mampu bersaing dengan pasukan dari benua lain.
Wakil Asia bagi Piala Dunia kali ini adalah Arab Saudi, Iran, Australia, Korea Selatan dan Jepun. Walaupun hanya Jepun yang layak, tetapi semua pasukan Asia berjaya memenangi sekurang-kurangnya satu perlawanan kecuali Australia.
Arab Saudi biarpun tewas besar dalam perlawanan pembukaan kepada tuan rumah, Russia, berjaya menahan asakan Uruguay dan tewas dengan keputusan 1-0 sebelum memungut tiga mata dengan menewaskan Mesir yang diperkuat dengan Mohamed Salah.
Australia pula memberi saingan kepada Perancis dan memungut satu mata ketika berdepan Denmark tetapi gagal mara selepas tewas dalam perlawanan terakhir mereka kepada Peru.
Korea Selatan pada mulanya juga tidak diberikan perhatian selepas tewas kepada Sweden dan Mexico telah membuat kejutan terbesar di Piala Dunia kali ini dengan menumbangkan juara bertahan, Jerman.
Jepun, wakil paling membanggakan Asia. Berada dalam kumpulan yang terbuka bersama Colombia, Senegal dan Poland, tidak ramai menjangkakan mereka akan layak. Tetapi mereka membuktikan sebaliknya dengan mengejutkan Colombia 2-0 dalam perlawanan pertama serta menunjukkan aksi yang cukup teratur dan menarik.
Pasukan Asia dalam kejohanan kali ini telah memungut mata terbanyak sejak kali pertama menyertai Piala Dunia dengan jumlah keseluruhan 15 mata. Setiap pasukan juga menunjukkan kesungguhan serta kebijaksanaan taktikal masing-masing.
Arab Saudi tidak takut untuk menyerang, Iran dengan taktikal bertahan yang menyebabkan mereka sukar ditembusi, Australia pakar sepakan penalti, Korea Selatan dengan pemain bertaraf dunia, Son Heungmin dan akhir sekali Jepun yang menerapkan permainan teratur ala Jerman tetapi dengan keputusan yang lebih baik.
Biarpun kita hanya mempunyai satu wakil sahaja ke pusingan kalah mati, satu perkara yang jelas adalah pasukan Asia bukan pasukan belasahan. Perkara ini perlu diteruskan dan pasukan Asia tidak boleh memandang ke belakang lagi. Selain itu, harapan Asia tidak lagi boleh terus disandarkan kepada pasukan-pasukan ini sahaja. Semua pasukan Asia perlu bangkit dan memberikan persaingan sengit di antara satu sama lain. Sebagai benua terbesar dan mempunyai kegilaan terhadap bolasepak, bolasepak Asia sepatutnya menguasai dunia. Tiada lagi alasan pemain tidak mampu bersaing atau tiada kepandaian dalam bolasepak. Kita ada semangat, dan semangat itu kita perlu gunakan untuk membangunkan bolasepak Asia!
Kita perlu berusaha supaya suatu hari nanti pasukan Asia bukan sekadar pelengkap jadual di Piala Dunia. Dengan ura-ura menyatakan Piala Dunia akan ditambah kepada 48 pasukan, kita perlu tunjukkan bahawa Asia layak diberikan lebih banyak slot. Sudah masanya untuk Asia mendominasi bolasepak dunia. Tunjukkan pada dunia, Asia mampu jadi juara. Dan ya, ini bermaksud anda juga wahai Malaysia!