Luar Negara Piala Dunia 2018

Siapa bakal ke final Piala Dunia?

Beberapa bulan lalu situasi dua pasukan bukan pilihan untuk layak ke perlawanan akhir Piala Dunia boleh dianggap mustahil namun selepas dua minggu kejohanan berlangsung, banyak kejutan berlaku dan pasukan ranking yang lebih rendah telah menunjukkan satu persembahan yang sangat luar biasa.

Selepas juara empat kali, Jerman, tersingkir, laluan pusingan kalah mati menghidangkan lebih banyak kejutan.

Ditambah dengan ketiadaan Itali dan finalis tiga kali, Belanda, pusingan kedua kali ini dilihat sedikit berbeza. Ketiadaan Jerman juga yang sudah beraksi dalam 17 edisi Piala Dunia jelas sedikit janggal.

Malah dalam salah satu laluan dalam pusingan 16 terakhir, pasukan yang belum pernah menjuarai Piala Dunia seperti Switzerland, Rusia, Sweden, Croatia, Denmark dan Colombia kini berpeluang mencipta kejutan.

Salah satu daripadanya berkemungkinan mara ke separuh akhir di samping juara 2010 Sepanyol dan juara 1966 England adalah dua pasukan yang berada dalam satu lagi laluan kalah mati.

Sepanyol akan menentang Rusia manakala Switzerland akan berdepan Sweden.

Pasukan yang mara ke separuh akhir 1998, Croatia berdepan Denmark, manakala Colombia yang menjuarai Kumpulan H akan berdepan England.

Laluan satu lagi kumpulan menyaksikan pasukan tradisi kuasa bola sepak Argentina yang juga finalis 2014 berdepan juara 1998, Perancis.

Juara lima kali, Brazil akan menentang Mexico manakala juara dua kali Uruguay akan menentang juara Eropah, Portugal, yang diketuai Cristiano Ronaldo.

Namun, pertembungan pusingan 16 terakhir ini bakal menyaksikan separuh daripada pasukan yang pernah menjadi juara dunia akan terlepas tiket ke separuh akhir.