Lionel Messi mengucapkan rasa syukur apabila Argentina muncul juara Piala Dunia 2022 di Qatar.
Pemain terbaik dunia itu membantu negaranya menewaskan Perancis 4-2 dalam penentuan sepakan penalti setelah terikat 3-3 sepanjang 120 minit perlawanan akhir yang penuh dramatik.
“Kita sudah berjaya akhirnya,” kata Messi selepas dinobatkan pemain terbaik dan merangkul trofi Piala Dunia buat pertama kali dalam kariernya.
“Tidak ada yang lebih besar daripada memenangi trofi ini.
“Saya bersyukur kepada Tuhan yang menghadiahkan piala yang diidam-idamkan oleh saya, rakan-rakan pasukan dan seluruh rakyat Argentina.
“Kita akhirnya juara dunia. Kita ditakdirkan jadi juara. Sekarang bukan masa untuk menganalisa perlawanan, tapi untuk raikan kemenangan ini.”
Ketika ditanya sama ada final Piala Dunia 2022 merupakan penampilannya yang terakhir bersama Argentina, Messi mengatakannya dengan jelas.
“Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, tidak.
“Saya mahu peminat Argentina tunggu kepulangan kami, kita akan kembali dan raikan bersama.”
Argentina dijangka membuat perarakan bersama trofi Piala Dunia di ibu negara Buenos Aires.
Messi menamatkan penantian 36 tahun setelah kali terakhir Argentina memenangi Piala Dunia adalah pada 1986 yang dijulang oleh legenda bolasepak dunia, Diego Maradona.
Argentina menjulang trofi Piala Dunia buat kali pertama pada 1978 hasil aksi cemerlang pemain terbaik ketika itu, Mario Kempes.