Piala Malaysia Berita

Selangor jumpa JDT di final Piala Malaysia 2022

Selangor mara ke final Piala Malaysia 2022 walaupun tewas kepada Terengganu kerana berjaya meraih agregat 3-2 di Kuala Terengganu.

Ini kali ke-50 Selangor mara ke final Piala Malaysia dengan 33 kali menjulang piala dan 16 kali muncul naib juara.

Tan Cheng Hoe juga mencipta sejarah apabila membimbing pasukan ke final Piala Malaysia buat kali ke-3 dalam kariernya, selepas melakukannya bersama Kedah pada 2015 dan 2016.

Selangor bagaimanapun diasak oleh Terengganu sepanjang separuh masa pertama sehingga akhirnya dibolosi menerusi jaringan Kipre Tchetche pada minit ke-36.

Bagaimanapun, Terengganu gagal menambah jaringan gol di separuh masa kedua.

Ini meskipun Selangor kehilangan Yazan Al-Arab kerana dilayangkan kad merah, menjadikan keputusan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Selangor akan bertemu JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.