
Skuad kebangsaan bakal beraksi di Qatar yang dipilih sebagai tuan rumah Piala Asia 2023.
Ini bermakna hasrat Indonesia dan Korea Selatan untuk menjadi tuan rumah tidak kesampaian.
“Bagi pihak AFC dan keluarga bola sepak Asia, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Persatuan Bola Sepak Qatar kerana telah dianugerahkan hak penganjuran edisi Piala Asia yang akan datang,” kata Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa.
“Kita juga harus berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Indonesia dan Persatuan Bola Sepak Korea kerana meluahkan hasrat mereka untuk mengadakan kejohanan itu.
“Keupayaan dan rekod prestasi Qatar dalam menganjurkan acara sukan antarabangsa utama dan perhatian teliti mereka terhadap perincian sangat dikagumi di seluruh dunia.
“Saya juga mesti memuji AFC kerana mempamerkan profesionalisme tertinggi dalam menjalankan proses pembidaan yang adil dan telus dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakan komersial dan penaja atas kesabaran mereka.
“Memandangkan tempoh persiapan yang singkat, tetapi dengan infrastruktur bertaraf dunia sedia ada dan keupayaan tuan rumah yang tiada tandingan, kami yakin Qatar akan mengadakan tontonan yang berbaloi sesuai dengan prestij dan kedudukannya sebagai permata mahkota Asia. ”
Qatar ialah juara bertahan Piala Asia dan akan menjadi tuan rumah kejohanan paling berprestij di benua ini buat kali ketiga selepas edisi 1988 dan 2011.
Selain Indonesia dan Korea Selatan, terdapat beberapa negara yang turut membida tetapi menarik diri iaitu Australia.
Dalam pada itu, India dan Arab Saudi akan bertarung untuk menjadi tuan rumah bagi Piala Asia 2027 selepas Uzbekistan dan Iran menarik diri.