Malaysia Berita

Malaysia mara ke final Piala Raja 2022, unggul tewaskan tuan rumah Thailand

Malaysia mara ke final Piala Raja 2022 apabila menewaskan tuan rumah Thailand 5-3 dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 pada perlawanan pembukaan di Chiang Mai.

Kemenangan itu hasil daripada corak permainan negara yang agresif sejak mula separuh masa pertama.

Semua pemain negara dilihat berusaha mengasak dan memberi tekanan kepada pihak lawan tanpa menunggu kehadiran bola di kawasan masing-masing.

Malah, pemain terbaik Piala FA 2022, Arif Aiman Hanapi mencipta peluang untuk menjaringkan gol namun rembatannya hanya sedikit tersasar.

Serangan demi serangan akhirnya membuahkan hasil apabila hantaran Safawi Rasid berjaya disudahkan oleh La’vere Corbin-Ong pada minit ke-23.

Malaysia mempunyai peluang untuk menambah gol kedua menerusi Darren Lok namun tandukannya berjaya ditepis oleh penjaga gol Thailand.

Thailand juga mempunyai peluang sebanyak tiga kali di hadapan gol namun ketiga-tiga peluang itu berjaya dihalang oleh penjaga gol negara, Syihan Hazmi.

Pasukan tuan rumah terus mengasak sepanjang 20 minit terakhir untuk menyamakan kedudukan, namun masih gagal menembusi pertahanan negara.

Bagaimanapun, seminit sebelum tamat perlawanan, Azam Azih dilayangkan kad kuning kedua apabila mengasari Phitiwat Sukjitthammakul.

Ia sekali gus memberi peluang kepada Thailand apabila akhirnya meraih gol penyamaan hasil tandukan Pansa Hemviboon.

Keputusan 1-1 kekal hingga wisel penamat, memaksa perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.

Syihan sekali lagi menjadi wira negara apabila beliau berjaya menepis keluar sepakan penalti Supachok Sarachat.

Corbin-Ong menjaringkan gol kemenangan apabila berjaya menyudahkan sepakan penaltinya, sekali gus membantu Malaysia mara ke final.

Malaysia akan bertemu Tajikistan di perlawanan akhir Ahad ini.