Jurulatih negara, Kim Pan-gon mengakui barisan pemainnya dalam mood yang baik malah muka baharu cuba meyakinkan beliau untuk dipilih berdepan Thailand dalam perlawanan pembukaan Piala Raja Thailand malam ini.
Ini memandangkan ada beberapa pemain baharu dalam skuad kebangsaan kali ini seperti Azam Azmi Murad, Declan Lambert, Kalamullah Al-Hafiz dan Zhafri Yahya.
“Dalam beberapa hari lepas, kita dah menilai semua perkara, termasuklah muka-muka baharu,” kata Pan-gon dalam sidang media.
“Kita lihat sama ada mereka boleh yakinkan kita (untuk terpilih kesebelasan utama). Ini satu-satunya cara untuk kita bentuk pasukan.
“Jadi, kita mungkin akan lihat perkara yang menarik daripada skuad negara dalam perlawanan nanti.”
Pan-gon akan bertemu Thailand buat pertama kali dalam kariernya tetapi beliau hanya fokus dengan pasukannya.
“Saya mahu mengekalkan mood yang baik dan kita cuba yang terbaik.
“Yang lebih penting, bagaimana kita boleh mengekalkan prestasi yang baik sejak Jun lalu, kita mahu pergi lebih jauh lagi, kita mahu melihat prestasi yang lebih baik itu..adalah matlamat kita.”
Dalam pada itu, kapten negara, Syafiq Ahmad menyifatkan perlawanan menentang Thailand akan menguji kekuatan Malaysia selepas layak ke Piala Asia 2023.
“Thailand mempunyai ramai pemain yang bagus, untuk kami ia adalah peluang yang baik untuk menunjukkan sejauh mana kemampuan kami.
“Kami mempunyai persediaan yang baik dan kami mahu beraksi dengan baik.
“Selepas layak ke Piala Asia, kita perlu membina momentum dalam setiap perlawanan, kita perlu meningkatkan prestasi setiap hari untuk menjadi pasukan yang bagus.
“Sebab itu kami fokus dengan Piala Raja Thailand, dan kami ingin mencapai sesuatu di sini.”