Liga Super Malaysia Berita

Lim Teong Kim jurulatih baharu Perak bagi musim 2023

Perak membuat kejutan apabila mengumumkan Lim Teong Kim sebagai ketua jurulatih baharu bagi musim 2023.

Jurulatih berusia 59 tahun itu menandatangani kontrak 2 tahun, serta mempunyai pilihan untuk memperbaharui kontrak selama setahun lagi.

Ini merupakan kali pertama Teong Kim kembali ke tanah air sejak kontraknya sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari berakhir pada 2019.

“Teong Kim menyatakan bahawa beliau ingin membantu membawa perubahan struktur kepada cara kelab bola sepak dikendalikan di Malaysia,” kata Perak dalam kenyataan rasmi hari ini.

Yusri Che Lah akan diberi peranan baru sebagai jurulatih skuad B-23 bermula musim depan apabila Teong Kim mengambil alih peranan baharunya sejurus selepas perlawanan dengan Kuching City di Stadium Perak pada 17 September 2022, jam 9 malam, dengan proses penyerahan dimuktamadkan sebelum pramusim 2023.

Teong Kim mempunyai pengalaman melatih selama 12 tahun dengan juara Bundesliga 10 kali, pasukan Bayern Munich Bawah 19 tahun dan melatih pemain-pemain seperti Thomas Müller, David Alaba, Toni Kroos dan Emre Can.

Pengalaman beliau juga termasuk berkhidmat di Bologna, mengendalikan bakat seperti Nicola Sansone dan Roberto Soriano.

Di peringkat tempatan, beliau pernah memegang jawatan Pengarah NFDP pada 2013 dan kemudian pada 2016, dilantik sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari.

“Perak terpaksa menjalani tempoh peralihan, dan kami kini telah menyelesaikan semua masalah yang timbul,” jelas Pengerusi Perak, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

“Tiada lagi alasan untuk musim depan kerana kami mempunyai masa yang cukup dan jurulatih terkemuka yang telah ditambah dalam senarai kami.”

“Matlamat utama kami ialah menstabilkan kelab, untuk mengekalkan status kompetitif kami dengan pengambilan skuad baharu.

“Pandangan Lim Teong Kim dalam pengurusan akar umbi dan pengendalian pemain muda sangat penting kepada Perak dalam proses membina semula pasukan mampan yang boleh bersaing untuk merebut kejuaraan.”