Premier League Berita

Man United tewas perlawanan pertama, era baharu Erik ten Hag bermula dengan suram

Manchester United tewas 2-1 kepada Brighton dalam perlawanan pembukaan Premier League di Old Trafford, sekali gus memulakan era baharu Erik ten Hag dalam suasana yang suram.

Malah, Ten Hag menjadi ketua jurulatih pertama Man United yang tewas dalam perlawanan pertama Premier League di bawah kendaliannya sejak Louis van Gaal pada musim 2014-2015.

Pascal Gross menjaringkan dua gol untuk Brighton pada separuh masa pertama, sebelum Man United menjaringkan gol sagu hati menerusi gol sendiri Alexis Mac Allister.

“Kita bermula dengan baik tetapi kemudian tahap keyakinan pemain merosot (selepas dua gol bolos), kami melakukan kesilapan dan pihak lawan menghukum kami,” kata Ten Hag dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

“Saya faham bahawa (kekurangan motivasi) selepas tahun lepas tetapi ia tidak semestinya kerana itu. Mereka pemain yang bagus; keyakinan diri datang daripada diri sendiri.

“Saya tahu ia boleh berlaku, tetapi saya rasa kami sepatutnya melakukan yang lebih baik, itu jelas, tetapi ia juga tidak akan berlaku dalam sekelip mata.

Hari ini kami mengalami tempoh yang lebih teruk pada separuh masa pertama dan kami perlu belajar daripadanya. Itu juga jelas.”

Ten Hag menyenaraikan Christian Eriksen sebagai penyerang dalam kesebelasan utama, dengan Cristiano Ronaldo di bangku simpanan.

Cristiano Ronaldo – Credit: Getty Images

Ronaldo kelihatan bersedia untuk bermula selepas kecederaan menimpa Anthony Martial, tetapi Ten Hag mempertahankan keputusannya untuk tidak memulakan pemain berusia 37 tahun itu.

“Sekiranya ada penyerang yang bersedia, saya akan berikannya beraksi,” kata Ten Hag.

“Cristiano Ronaldo baru berlatih selama 10 hari dalam sesi latihan pasukan dan ia terlalu singkat untuk 90 minit, jadi itulah sebab kami tidak memulakan dia. Kami mempunyai dua penyerang (Martial dan Ronaldo) dan mungkin ketiga Rashford.

“Kami menganggap Rashford sebagai penyerang tetapi dia beraksi sangat baik di bahagian kiri dan dia mempunyai dua peluang yang sangat baik, tetapi malangnya penyerang kita belum bersedia lagi.”