Liga Super Malaysia Berita

CEO Terengganu: Nafuzi sudah tandatangan kontrak bersama pasukan lain

Nafuzi Zain sudah menandatangani kontrak bersama pasukan lain menurut CEO Terengganu, Ab Rasid Jusoh.

Ini selepas jurulatih berusia 44 tahun itu mengundang kontroversi apabila mendakwa pengurusan pasukannya tidak profesional dalam urusan tawaran kontrak baharu.

“Pihak pengurusan merasa terkilan apabila dituduh tidak profesional dengan menyatakan bahawa pihak pengurusan lambat menawarkan lanjutan kontrak kepada pegawai,” kata Rasid dalam kenyataan.

“Sedangkan pihak pengurusan telah mendapati pegawai tersebut telah berunding dan menandatangani perjanjian lebih awal bersama salah sebuah pasukan di Liga Super pada bulan Ogos 2022 lagi.

“Iaitu sebelum kenyataan pertama beliau semasa sidang media selepas perlawanan Liga Super menentang Penang dengan menyatakan tahun ini kemungkinan besar tahun terakhirnya bersama pasukan ini.

“Keadaan ini telah melanggar terma dan syarat kontrak kelab dimana pegawai tidak boleh menandatangani perjanjian dengan mana-mana pasukan selagi mana beliau masih terikat dengan kontrak kelab.

“Tindakan kurang profesional pegawai dalam menentukan hala tuju beliau dan seakan-akan ingin mencalarkan imej pengurusan kelab dengan melemparkan pelbagai tuduhan dan meletakkan kesalahan kepada pengurusan sebelum beliau meninggalkan kelab ini adalah tidak wajar.”

Jelasnya, merujuk kepada Perkara 9 : Melanjutkan tempoh kontrak, 9.1 : Kelab hendaklah dalam masa 30 hari sebelum tamat kontrak ini memberi notis kepada pegawai untuk melanjutkan kontrak.

“Pihak kelab juga mengesahkan telahpun mengutuskan surat tawaran pelanjutan kontrak bertarikh 27 Oktober 2022 berdasarkan kemampuan kelab yang telah disampaikan melalui Pembantu Operasi Unit Teknikal Terengganu sebelum tamatnya kontrak pegawai pada 30 November 2022.

“Dalam Perkara 9.3, pegawai hendaklah menyatakan kepada kelab menerima/menolak atau meletakkan tarikh perundingan terma-terma kontrak dalam masa 14 hari.

“Pihak majikan telahpun mematuhi terma dalam kontrak ini dengan menawarkan kontrak pada pegawai dalam tempoh yang ditetapkan dalam perkara 9. Perkara ini menjawab kepada persoalan menuduh pihak pengurusan melengah-lengahkan penawaran lanjutan kontrak kepada pegawai.

“Namun demikian, dalam tempoh tersebut pihak pengurusan tidak menerima apa-apa maklum balas daripada pegawai sehinggalah beliau mengeluarkan kenyataan secara terbuka kepada media.”

Kata Rasid, beliau kecewa dengan Nafuzi yang telah menabur khidmat bersama pasukan bolasepak Terengganu sejak 7 tahun lalu, apabila beliau cuba mengakhirinya dengan cara seperti ini.

“Pihak pengurusan akan meneliti tindakan lanjut yang akan diambil kepada pihak pegawai di atas segala kenyataan dan perkara yang telah beliau lakukan kerana ianya telahpun mencalarkan imej kelab ini secara nyata.”