Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) hari ini mengumumkan peruntukan 30,000 tiket yang berharga RM 50 buat penyokong The Bos Gaurus menjelang perlawanan akhir Shopee Piala FA 2019 menentang Kedah, 27 Julai ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Manakala bagi tiket kanak-kanak, PAFA mengumumkan peruntukan sebanyak 750 tiket yang berharga RM 5.
Pengumuman ini hadir sewaktu sidang media bersama Presiden PAFA, Dato’ Seri Ahmad Faizal yang juga merangkap Menteri Besar Perak yang diadakan di Hotel Royal Chulan, Damansara hari ini.
“Sebanyak 15,000 keping tiket dewasa dan 750 keping tiket kanak-kanak bakal dijual di Stadium Perak, manakala selebihnya iaitu 12,000 keping tiket akan dijual di tujuh kawasan yang ditetapkan.” Katanya pada sidang media terbabit.
Antara kawasan yang telah ditetapkan itu termasuk Stadium Sintetik Parit Buntar (Kerian), Pejabat Kemas Kampung Gajah (Kampung Gajah), Majlis Perbandaran Teluk Intan (Teluk Intan), Pejabat Daerah Tanjong Malim (Tanjong Malim), Pejabat Tanah dan Daerah Lenggong (Lenggong), Dewan Jubilee Perak (Kuala Kangsar) dan Stadium Manjung (Manjung).
“Manakala baki 3,000 tiket diperuntukan kepada penaja dan jabatan-jabatan kerajaan.”
Aksi final yang bakal diadakan di Stadium Bukit Jalil bakal dibanjiri lebih 60,000 penyokong dari kedua-dua pasukan yang menjanjikan aksi terbaik buat pasukan.
Bagi mengelak beberapa perkara diluar tawaran dan ulat tiket yang berluasa, PAFA akan mula menjual tiket pada 23 Julai nanti pada jam 10.30 pagi sehingga 3.30 petang.