Malaysia Berita

Skuad B-18 mengganas

Skuad B-18 Negara cemerlang pada perlawanan kedua kumpulan G Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 apabila mudah membenam Brunei 11-0 malam semalam.

Walaupun turun tanpa dua tonggak utama iaitu Mukhairi Ajmal dan Ahmad Zikri yang dilayangkan kad merah pada perlawanan sebelum ini, anak buah Brad Maloney tetap bermain dengan baik. Maloney terpaksa menukar taktik permainan ekoran kehilangan pemain utama.

Skuad muda negara mendahului Brunei pada separuh masa pertama dengan tujuh jaringan dan menambah empat lagi gol pada babak kedua. Bintang sensasi negara, Luqman Hakim menyumbat empat gol, manakala Aiman Afif mencatat hatrik pertamanya buat pasukan muda negara. Pemain dari Terengganu, Azam Azmi menjaringkan dua gol manakala selebihnya masing-masing disumbangkan oleh Azrin Afiq dan Harith Haiqal.

Kemenangan tersebut meletakkan Malaysia di tangga kedua kumpulan dengan pungutan enam mata. Malaysia dan Thailand berkongsi mata dan dipisahkan melalui perbezaan jaringan gol.

Namun begitu, skuad muda negara tidak boleh terlalu selesa kerana Brunei bukanlah lawan sebenar. Brunei sebelum ini dibelasah Thailand 9-0 pada perlawanan pertama. Anak buah Brad Maloney perlu kekal fokus dan terus konsisten dengan persembahan cemerlang. 

Malaysia B-18 akan bertemu Kepulauan Mariana Utara pada Jumaat ini sebelum pertembungan menentang Thailand pada hari Ahad.