Eropah Berita

Walker ambil alih tugas penjaga gawang

Penyandang Juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City diikat 1-1 oleh Atalanta dalam perlawanan keempat kumpulan C saingan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

The Citizens bermula garang dengan gol seawal minit ketujuh menerusi serangan balas hasil kesilapan pemain tengah Atalanta. Raheem Sterling mudah menewaskan penjaga gol apabila menerima umpanan hasil gerakan cantik Bernardo Silva yang bertukar hantaran dengan Gabriel Jesus.

Sejurus selepas itu, City berpeluang untuk menambah jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti. Namun begitu, tendangan penyerang dari Brazil, Gabriel Jesus tersasar di tepi gawang gol. Nasib anak buah Pep Guardiola terus malang selepas penjaga gol utama, Ederson terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan dan digantikan dengan bekas penjaga gol Barcelona, Claudio Bravo.

Atalanta selaku tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi tandukan Mario Pasalic, tiga minit selepas Bravo masuk menggantikan Ederson. Ibarat jatuh ditimpa tangga, penjaga gol gantian City, Claudio Bravo pula diarahkan keluar padang selepas mengasari penyerang Atalanta di luar kotak penalti.

Pemain pertahanan England, Kyle Walker tampil menggalas tugas sebagai penjaga gol walaupun itu bukan posisi asalnya. Walker yang dilihat sebagai bidan terjun, cemerlang dengan memastikan tiada gol bolos dalam baki perlawanan yang tinggal.

Selepas tamat perlawanan, laman sosial seperti Twitter gempar dengan gambar Kyle Walker sebagai penjaga gol yang mula tular di garisan masa. Ada juga peminat yang berseloroh dengan bertanya adakah Walker akan bertugas sebagai penjaga gawang menentang Liverpool pada hujung minggu ini.

Manchester City kekal di tangga teratas kumpulan C dengan mengumpul 10 mata sambil diekori oleh Shaktar Donetsk dan Dynamo Zagreb yang berkongsi lima mata.