Ketua Jurulatih Manchester City, Pep Guardiola memuji keberanian pemain pertahanan, Kyle Walker yang tampil membantu pasukan untuk mengisi kekosongan sebagai penjaga gol pada aksi menentang Atalanta awal pagi tadi.
Terdahulu, Kyle Walker yang bermain di posisi pertahanan telah menggantikan penjaga gol, Claudio Bravo yang dilayangkan kad merah pada hujung babak kedua perlawanan. Manchester City selaku pasukan pelawat kehilangan dua penjaga gol dalam perlawanan semalam. Ederson dikeluarkan atas masalah kecederaan manakala Bravo diarah keluar padang atas kekasaran kepada penyerang Atalanta.
Bravo merupakan penjaga gol gantian pertama dilayangkan kad merah dalam sejarah Liga Juara-Juara Eropah.
Dalam pada itu, Pep juga mendedahkan sebab utama pemilihan Kyle Walker pada perlawanan tersebut. ‘Kami tidak membincangkan perkara ini sebelum perlawanan. Xavi Mancisidor (Jurulatih penjaga gol) yang mencadangkan namanya (Walker) kerana dia memiliki keberanian dan kepantasan. Jadi, dia ke gawang gol’, jawabnya kepada persoalan yang diajukan.
Manchester City's new number one? 😂👐 pic.twitter.com/raHbUPRyJw
— GOAL (@goal) November 7, 2019
‘Kami bertuah kerana hanya satu percubaan tepat kearah gol sewaktu dia (Walker) menjaga gol. Tahniah atas keberanian dan terima kasih kerana berani membantu pasukan’, puji Pep atas tindakan Walker.
Dalam perkembangan yang berkaitan, Ederson mengalami kecederaan di bahagian otot dan dia tidak berasa selesa untuk teruskan permainan. Oleh yang demikian, keputusan untuk membawa penjaga gol itu keluar merupakan tindakan yang tepat bagi mengelakkan sebarang kecederaan serius. Status kecergasan Ederson masih belum diketahui menjelang pertembungan dengan Liverpool pada awal pagi Isnin.